Friday, March 18, 2011

Hutan Lipur Sungai Sendat

Hutan Lipur Sungai Sendat terletak dalam Hutan Simpan Batang Kali, daerah Hulu Selangor. Hutan Simpan ini adalah sebahagian daripada Hutan Hujan Tropika di Semenanjung Malaysia dan merupakan salah satu ekosistem yang sangat kompleks di dunia. Ianya unik dan telah wujud lebih dari berjuta tahun. Hutan Lipur Sungai Sendat ini sangat kaya dengan berbagai-bagai tumbuhan dan hidupan liar, di antaranya termasuklah 2,500 spesis pokok, 200 spesis mamalia, 600 spesis burung, 110 spesis ular, 860 spesis cicak dan beribu-ribu serangga.
Penubuhan hutan lipur di dalam hutan simpan adalah selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) untuk mengekalkan sejumlah kawasan yang mencukupi sebagai tempat rekreasi, 'eco-tourism' dan untuk kesedaran masyarakat mengenai perhutanan.
 Kawasan pembangunan Hutan Lipur Sungai Sendat adalah di dalam kompt 1, Hutan Simpan Batang Kali dan tertumpukan kepada kawasan seluas lebih kurang 6.0 hektar yang berdudukan di antara dua batang sungai iaitu Sungai Sendat dan Sungai Kalong. Kawasan hutan ini termasuk dalam Taman Negeri Selangor dan telah menjalankan pembalakan dalam tahun 1954. Daya tarikan utama Hutan Lipur Sungai Sendat adalah terdapatnya sebuah air terjun dan dua batang sungai yang airnya bersih dan segar selain dari berlatar belakangkan keindahan semulajadi Hutan Hujan Tropika.

Antara matlamat-matlamat penubuhan hutan lipur adalah:
1. Menyediakan tempat-tempat untuk kemudahan beristirehat di dalam hutan seperti berkelah dan permandangan jauh (look-out), taman rekreasi dan kawasan-kawasan semulajadi yang indah kepada orang ramai terutamanya kepada setiap golongan masyarakat.
2. Melahirkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya mengekalkan keaslian alam sekitar, khususnya hutan supaya terpelihara demi kesejahteraan kehidupan mereka.
3. Meninggikan prestasi individu menerusi pembebasan fikiran daripada tekanan kesibukan kerja-kerja harian dan juga suasana persekitaran yang tidak tenteram terutamanya di bandar-bandar besar.
4. Memberi peluang dan dorongan untuk menjelajah di kawasan-kawasan hutan sambil menikmati keindahannya melalui penyediaan denai-denai hutan, kemudahan aktiviti-aktiviti mendaki gunung, bersampan serta lain-lain aktiviti yang berbentuk aktif.
5. Berperanan sebagai menambah kepada kawasan-kawasan Penyelidikan yang sedia ada, sesuai dengan keasliannya yang terpelihara
6. Menambah kawasan yang boleh menarik lebih ramai pelancong yang berkunjung ke Negara yang mana hasilnya akan menolong dalam peningkatan ekonomi negara.

Marilah ke Sungai Sendat..

1 comment:

  1. weii..sungai sendat nie belah mana ek..
    mcm sejuk jew tempat dia..=)

    ReplyDelete