Tuesday, March 8, 2011

Jungle Trekking di Hutan Lipur Sungai Sendat #1

Signboard ke Hutan Lipur Sungai Sendat
Jungle trekking ini akan berada di permulaan Denai Meranti. Denai ini sepanjang 1.1 kilometer dan mempunyai 13 penantian yang dilengkapi dengan papan tanda maklumat.

Peraturan yang perlu diikut oleh setiap pengunjung iaitu:
1. Sebelum menggunakan Denai ini sila dapatkan kebenaran daripada Pegawai Perhutanan yang bertugas.

2. Anda dilarang sama sekali merosak, menakik atau membawa keluar flora dan fauna yang terdapat di dalam kawasan ini.

3. Keselamatan diri dan harta benda anda semasa menggunakan denai ini adalah tanggungjawab anda sendiri bukan tanggungjawab pihak Jabatan Perhutanan dan Kerajaan Negeri selangor.


Perhentian 1(P1)-Kepentingan Hutan
Hutan merupakan khazanah alam yang tidak ternilai untuk semua kehidupan dimuka bumi ini. Menyumbang udara yang bersih, segar, air untuk diminum, sumber kayu-kayan, ubat-ubatan dan tempat istirehat yang menarik. Hutan juga menyediakan habitat untuk pelbagai spesis flora dan fauna. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga dan memelihara hutan kita supaya generasi yang akan datang dapat merasai dan menikmati apa yang kita ada pada hari ini.
Pokok Palma
 Perhentian 2(P2)-Palma
Nama saintifik: Arenga obtusifolia labill
Nama tempatan: Langkap

Langkap merupakan salah satu daripada 2700 spesies palma yang terdapat didunia. 500 daripadanya tumbuh di Malaysia. 200 spesis di Semenanjung Malaysia sementara bakinya 300 spesies dijumpai di Sabah dan Sarawak. Tumbuh berumpun dan ada yang tumbuh secara tunggal. Bentuk daun, kelopak upih dan tangkai buah-buahan seakan-akan pokok pinang. Menjadi pokok musuh kepada pokok-pokok yang lain apabila tumbuh secara berkelompok kerana tiada tumbuhan yang dapat hidup dibawah naungannya
Petai
Perhentian 3(P3)-Petai
Nama saintifik: Parkia speciosa
Nama tempatan: Petai
Famili: Leguminosae
Pokok Petai tergolong didalam famili leguminosae, tumbuh meliar di hutan-hutan di Asia Tenggara. Pokoknya besar dan boleh mencapai 30 meter tinggi, kulit perang kemerahan, licin dan berbopeng. Daunnya kecil dan berpelepah. Buahnya sangat popular dikalangan penduduk tempatan. Dimakan sebagai ulam dan dipercayai mempunyai khasiat bagi mengubat penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Besarnya pokok Meranti Tembaga
Perhentian 5(P5)-Meranti Tembaga
Nama saintifik: Shorea leprosula
Famili: Dipterocarpaceae
Pokok Meranti Tembaga tergolong dalam famili Dipterocarpaceae yang boleh didapati di Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera. Pokok ini merupakan sumber kayu komersil yang utama dan dikelaskan sebagai meranti merah muda. Pokoknya berbatang besar dan berbanir. Mempunyai rekahan pada kulit batang yang nyata. Boleh dikenali daripada jauh kerana daunnya yang berwarna tembaga. Ciri-ciri fizikalnya yang lain adalah seperti berikut:
  •  Kulit luar pokok: berwarna perang kelabu dan licin walaupun terdapat jalur-jalur yang sekata. Ranting-rantingnya amat berbulu pada hujungnya.
  • Daun: Licin pada permukaan atas dan permukaan bawahnya dilitupi oleh bulu-bulu kering
  • Bunga: Kecil dan berwarna kuning pucat dengan kelopak-kelopak yang sempit.
  • Buah: Merupakan kekeras yang berbentuk bujur dengan tiga sayap panjang serta dua sayap pendek
Perhentian 6(P6)-Anak Liar(Regenerasi Semulajadi/ Natural Regeneration)
Anak-anak pokok atau anak liar yang terdapat di sekitar kawasan ini tumbuh secara semulajadi. Ianya tumbuh hasil dari taburan benih dari pokok ibu berhampiran. Tanpa gangguan pokok musuh dan kerosakkan oleh manusia serta mendapat cahaya yang cukup, anak-anak pokok ini mampu untuk hidup dan membesar dengan sendiri.
Pokok Rotan
Perhentian 7(P7)-Rotan Mantang 
Nama saintifik: Calamus ornatus blume
Famili: Arecaceae
Rotan (Rattan) merupakan hasil utama dari kumpulan hasil bukan kayu. Rotan mantang adalah spesis dari 140 spesis rotan yang terdapat di Malaysia. Keistimewaan pokok rotan ialah mempunyai duri pada batang atau pelepah yang digunakan untuk memanjat pokok lain untuk bersaing mendapatkan cahaya matahari. kebanyakkan hasil produk dari rotan adalah perabot. Terdapat juga kegunaan lain seperti kraf tangan dan hiasan dalaman.


#akan bersambung ke entry yang ke-2..

No comments:

Post a Comment