Saturday, March 12, 2011

Jungle Trekking di Hutan Lipur Sungai Sendat #2

Kesinambungan perhentian di Hutan Lipur Sungai Sendat...

Perhentian 8(P8)-Simfoni Hutan
Anda sekarang berada di pertengahan Denai Meranti iaitu Simfoni Hutan (forest symphony). Berada pada ketinggian 200 meter dari aras laut dan 400 meter dari kawasan perkhemahan. Perhatikan kawasan sekeliling dan jangan bersuara. Pejamkan mata anda dan hayatilah irama simfoni hutan. Irama yang mengasyikkan ini tergabung dari bunyian air sungai, burung-burung, unggas hutan dan desiran angin.
Perhentian 9(P9)-Pokok Herba
Pokok Kacip Fatimah
1) Kacip Fatimah 
Nama saintifik: Labisia pumila
Kacip Fatimah adalah sejenis pokok herba yang terdapat di Hutan Malaysia yang amat mashur dalam perubatan Melayu untuk merawat wanita yang baru lepas bersalin. Penyediaan untuk kegunaan perubatan ialah keseluruhan daun, batang serta akarnya diracik halus dan direbus lalu airnya diminum.
Pokok Tongkat Ali
2) Tongkat Ali
Nama saintifik: Eurycoma longifolia Jack
Famili: Simaroubaceae
Genus: Eurycome
Spesies: E. longifolia
Pokok Tongkat Ali atau juga dikenali sebagai Pasak Bumi yang terdapat di hutan Malaysia dan Indonesia. Ia adalah sejenis tumbuhan yang terkenal dalam perubatan tradisional Melayu. Pokok Tongkat Ali boleh mencapai ketinggian sehingga 10 meter di dalam rimbunan hutan tanah rendah. Biasanya daunnya rimbun pada hujung batang. Kebanyakkan pokok ini tidak bercabang, kalau bercabang pun terlalu sedikit iaitu satu atau dua cabang sahaja. Bunganya tersusun padat pada tangkai bercabang yang keluar dari pangkal daun. Penyediaan untuk kegunaan perubatan adalah akarnya dicarik halus dan direbus lalu airnya diminum.
Perhentian 10(P10)-Pokok Langsuir
Pokok Langsuir
Nama saintifik: Asplenium nidus
Famili: Dennstaedtiaceae
Pokok Langsuir atau bird nest fern adalah salah satu spesis pakis yang merupakan salah satu pokok tumpang yang biasa ditemui didalam hutan. Daun atau pelepahnya boleh mencapai 150cm panjang. Dibahagian bawah daun terdapat alur yang mengandungi spora halus berwarna perang. Permukaan atas tumbuhan ini terdapat lekukan besar yang berfungsi sebagai perangkap daun kering yang luruh dari pokok lain. Daun-daun ini mereput dan bertindak sebagai span untuk menyerap dan menyimpan air hujan. Tumbuhan lain seperti paku-pakis yang lebih kecil atau pokok anggerik tumbuh dalam lekukan ini dan berkongsi air yang dikumpul.  
Perhentian 11(P11)-Sungai
Salah satu elemen bunyi yang didengari dari perhentian 8. Sungai merupakan sumber alam yang amat penting kepada manusia. Sejak dahulu lagi manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan sungai yang berfungsi sebagai sumber Sungai juga menawarkan persekitaran yang sesuai untuk aktiviti rekreasi dan perkhemahan.
Perhentian 12(P12)-Salak Hutan
Nama saintifik: Eleiodoxa conferta
Salak hutan tergolong dalam keluarga palma. Rasa buahnya masam, manis dan berbau wangi. Tumbuh berumpun dan mempunyai batang atau pelepah daun yang berduri kasar. Satu tangkai daripada tandan buah salak boleh mencapai berat sehingga 1.5kg. Buah yang masak boleh disimpan dalam masa seminggu. Pokok ini kerap dijumpai di kawasan yang lembap.
Perhentian 13(P13)-Buluh
Buluh
Nama saintifik: Bambusa sp.
Pokok buluh atau nama saintifiknya Bambusa sp. merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di Negara Asia. Secara kasarnya lebih kurang 1200-1500 spesis yang terdapat didunia antaranya 59 spesis wujud di Malaysia. Buluh boleh digunakan untuk membuat lemang, colok, penyepit makanan, pencungkil gigi, barangan kraftangan, perabut, lantai dan sebagainya. Selain daripada itu, rebung buluh merupakan salah satu bahan masakan yang popular. Antara jenis buluh yang biasa ditemui di Malaysia adalah
  1. Buluh Betung
  2. Buluh Akar
  3. Buluh Gading
  4. Buluh Perindu
  5. Buluh Duri
  6. Buluh Tilan Payung
  7. Buluh Brang
  8. Buluh Padi
  9. Buluh Semantan
  10. Buluh Semaliang
Itulah perhentian-perhentian yang terdapat di Hutan Lipur Sungai Sendat. Anda akan menikmati alam semulajadi sambil mempelajari jenis-jenis pkok yang terdapat didalam Hutan Lipur Sungai Sendat.

Marilah datang ke Hutan Lipur Sungai Sendat!

No comments:

Post a Comment